BEAUFORT: Sebuah pameran digital yang unik dan bersejarah telah menarik perhatian ramai apabila ia diadakan di dalam sebuah kereta api di Sabah, mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai "First Digital Library Exhibition Aboard A Train".

Majlis pelancaran pameran ini yang berlangsung di Stesen Keretapi Tanjung Aru, Kota Kinabalu, telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Pameran ini merupakan salah satu acara utama dalam program Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita, yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sutera Harbour Resort.

Program ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat tempatan, khususnya di Sabah, serta mempromosikan budaya membaca melalui pelbagai platform.

Dalam ucapannya, Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan bahawa pelaksanaan program ini selari dengan fokus PNM iaitu menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca.

"Pameran digital ini bukan sahaja menampilkan manuskrip Melayu, tetapi juga memanfaatkan teknologi terkini seperti realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pengunjung, terutama generasi muda yang lebih cenderung kepada penggunaan teknologi dalam kehidupan harian mereka," katanya.

xxx

Beliau juga mengumumkan bahawa pameran ini akan dilanjutkan sehingga 5 September 2024 dengan jangkaan seramai 10,000 pengunjung.

Pengunjung berpeluang menyaksikan kandungan pameran yang merangkumi bahan-bahan terbitan PNS berkaitan kemerdekaan dan sejarah serta warisan budaya di Sabah, selain mengakses perpustakaan digital u-Pustaka.

Selain itu, di Perpustakaan Desa Kampung Rancangan Klias, Beaufort, satu lagi acara menarik telah diadakan iaitu Program Etie Adat Tokou.

Program ini menonjolkan perpaduan komuniti melalui aktiviti penyediaan makanan dan makan bersama yang melibatkan penduduk setempat, mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Langkah ini juga diharapkan menjadi inspirasi kepada semua golongan masyarakat untuk terus memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia, di samping mempertingkatkan budaya membaca di kalangan rakyat.

PNM turut mengambil inisiatif untuk memperkenalkan program "Malam di Perpustakaan" yang menampilkan aktiviti seperti penceritaan waktu tidur, stargazing, dan persembahan boneka di Perpustakaan Negeri Sabah, memberikan pengunjung pengalaman yang berbeza dan menarik.

Dengan pelbagai pengisian yang disusun rapi, program ini jelas menunjukkan komitmen KPN dan PNM dalam usaha memperkukuhkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia serta memelihara khazanah budaya dan sejarah negara.