BUKU, genre apa sekalipun dan bagaimana ragam serta layanan kita terhadapnya, ia tetap memberi manfaat.
Ia akan bernyawa apabila kita mahu mengambil manfaat serta pengajaran daripadanya. Jujur sahaja, kepada kita, buku akan "bernyawa" saat keadaan kita kritikal - mahu lulus peperiksaan, ingin dibantu dalam kemajuan kerjaya atau saat diri hilang arah, berhasrat kembali ke pangkal jalan seperti ada cerita seorang penagih dadah berhenti menagih lalu berjanji mengasihi ibunya selepas berkurung membaca Laskar Pelangi. Begitu ragam dan layanan kita kepada buku.
Maka, buku, apapun jenisnya akan beri pengaruh besar kepada kita dan kehidupan. Masakan tidak, sifat dan pengaruh buku itu melalui ragamnya, berupaya membuatkan kita ketawa, menangis, marah, membangkitkan semangat dan motivasi diri selebihnya memperkaya spiritual atau rohani.
Ada seorang cendekiawan Arab, Al Jahiz, penjual roti yang akhirnya menjadi sasterawan tersohor pernah berkata dan saya petik kata-kata itu dalam buku tulisan Shaharom TM Sulaiman, Ada Apa Dengan Buku sebagai begini : "Buku adalah teman setia terbaik. Ini kerana buku tidak pernah sesekali mengecewakan kita, tetapi kita yang kerapkali putus asa dengannya. Ia tetap di situ, sedia berkhidmat untuk kita, walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya".
Ya, tulisan ini mengenai buku. Benar, tulisan ini seputar dunia membaca. Ia bergerak daripada asas bahawa buku apa sekalipun, jika dibaca adalah satu pekerjaan untuk meluaskan ufuk minda, iaitu melihat sesuatu dari sudut pandang yang lain.
Ingat, membaca itu kerja menyalin pengalaman dan menghirup pemikiran orang lain.
Jadi, begini. Setiap daripada kita pasti ada sekurang-kurangnya satu buku yang wajib dibaca, tidak kira untuk lulus periksa, untuk bergelar Dr sebelum dapatkan segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) atau bagi meningkatkan kerjaya.
Seseorang yang ambil jurusan Sastera wajib membaca Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Abdullah untuk lulus subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Seorang yang lain wajib menelaah Hikayat Sulalatus Salatin jika menyambung pembelajaran di peringkat PhD dalam disiplin Sejarah.
Manakala yang mahu berjaya dalam karier pula wajib ada beberapa naskhah buku motivasi demi membina positif dalam dunia itu. Ambil contoh, bacalah, The Myth of A Nice Girl - Fran Hauser, yang boleh dijadikan sebagai motivasi untuk para wanita berkerjaya yang mahukan kejayaan setimpal dalam kerjaya masing-masing tanpa meragui atau membelakangi kebolehan yang mereka ada sebagai kaum Hawa.
The Happiness Advantage oleh Shawn Achor pula mendedahkan beberapa prinsip yang mengetengahkan set minda yang positif demi mencapai kualiti kerja yang lebih bagus. Dua buku ini sekadar contoh, banyak lagi buku motivasi lain yang daya pikatnya, jika dibaca, boleh menukar rentak mereka yang berkerjaya.
Tetapi bagi orang Islam, satu-satunya buku atau naskhah yang terhebat untuk dibaca - tentunya al-Quran, ia buku panduan terbaik, ia teman yang setia, tidak kira bagaimana layanan kita terhadapnya. Al-Quran, ia, teman yang tidak menipu atau bermuka dua.
Kerana tingginya martabat al-Quran itu untuk dibaca dan dibedah, ramai yang menyedut kelebihannya untuk disebarluas pula manfaat isi kandungannya. Contohnya, buku Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran tulisan Ustaz Syaari Ab Rahman. Buku ini antara yang best seller bagi tahun 2018. Dalam tempoh masa setahun sahaja, buku ini telah diulang cetak lebih daripada empat kali.
Kepada Ustaz Syaari, al-Quran bukan sekadar buku biasa yang meleret dengan sejarah. Ini kerana sejarah yang sering kita fahami adalah sebuah kronologi cerita yang dibatasi dengan masa dan tempat tertentu.
Dan, apabila kita menyatakan kisah-kisah dalam al-Quran adalah sejarah atau cerita zaman lampau, kita seringkali merasakan kisah-kisah dalam al-Quran ini tidak ada kaitannya dengan kita, tidak akrab dengan kita. Dengan kata lain, hujah kita, apabila membaca al-Quran, ia sekadar membaca kisah umat terdahulu, kisah Bani Quraisy, yang langsung jauh daripada untuk mengaitkan dengan kita - hari ini.
Ambil juga contoh ini. Misalnya saat membaca kisah Nabi Yusuf, dalam surah Yusuf, surah ke-12 dalam al-Quran, kita secara tidak langsung merasakan yang kisah itu sepenuhnya adalah mengenai Nabi Yusuf, tidak ada satupun yang boleh dikaitkan dengan kehidupan kita. Namun, menurut Ustaz Syaari, alangkah rugi jika kita beranggapan sedemikian.
Begitu juga, al-Quran bukan sebuah ‘buku’ biasa tapi ia adalah sebuah kitab suci yang diturunkan kepada kita semua sebagai panduan kehidupan. Panduan kehidupan itu antaranya ialah adab ketika membaca atau berinteraksi dengan al-Quran bagi menjamin keberkatan.
Antara adab yang penulis kongsikan adalah menundukkan emosi kepada al-Quran, bukan sebaliknya.
Fikiran dan hati harus dijernihkan dari sebarang kepentingan atau prasangka agar ayat-ayat al-Quran tersebut dapat dihayati dan diambil iktibarnya secara benar. Iktibar itu antaranya boleh dipraktik sepanjang zaman, hatta hingga hari ini, ketika mana kita hidup dalam zaman pascakebenaran - sesiapa yang bijak menguasai emosi dan sentimen - bagi setiap segmen, dia akan menang.
Menariknya naskhah al-Quran ini, ia adalah kalam Allah SWT yang wajar dijadikan teman paling akrab seseorang Muslim dalam mengemudi kehidupannya, sebagaimana dikatakan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika mengaitkannya dengan kempen World #QuranHour, berlangsung sejak tujuh tahun lalu.
"Ia secara tidak langsung dapat mencipta tabiat untuk orang Islam berinteraksi dengan al-Quran. Kempen ini adalah untuk mencipta tabiat supaya orang Islam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham, hayati dan amal,'' kata Hussamuddin, yang kemudiannya mengaitkan al-Quran dengan ekosistem kehidupan.
Beliau menarik perhatian, misalnya, kepada isu dan budaya rasuah yang berakar kerana tidak faham agama Islam, dan tidak cedok gesaan dalam al-Quran bahawa rasuah itu salah dan berdosa.
"Inilah hati dan jantung kepada kempen World#QuranHour. Kalau buku ada pesta buku, biar penggemarnya hanyut dan lemas semasa berpesta memilih buku, biar kita ada juga kempen ini, biar umat Islam ditarik menghayati teguran dan panduannya supaya operasi ummah ini berasaskan kepada al-Quran, '' katanya dalam satu komunikasi melalui WhatsApp dengan penulis.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, yang juga senior saya semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula ketika ditanya adakah sambutan World#QuranHour itu bertujuan menambahkan khalayak pembaca al-Quran, beliau berkata dan saya petik begini:
"Atas sifatnya buku, apa gunanya al-Quran tanpa khalayak. Tanpa khalayak (baca kempen World #QuranHour, al-Quran hanya huruf-huruf atau ayat yang tidak bergema, panduannya tidak bersambut, ayatnya tidak meninggalkan jejak. Al-Quran sebagai panduan hidup, akan berhenti berbicara sehingga berjumpa pembacanya - kita semua, umat Islam, lebih-lebih lagi - Ketika dibaca itulah, kita masuk ke alam iktibarnya, kemudian memaknainya. Ketika membaca itulah - dialog berlangsung antara pembaca dan al-Quran dengan isinya memperkayakan batin, fikiran dan pengalaman."
Saya kemudiannya tanyakan sambutan kempen ini dan katanya sejak tujuh tahun penganjuran World #QuranHour, paling tinggi capaian yang diperoleh di media masa adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.
“Masa itu penganjurannya di banyak lokasi di seluruh Malaysia dan seluruh dunia sehingga kita mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial. Tetapi untuk tahun lepas ia menurun. Cuma pada tahun ini kita nampak peningkatan semula.
“Kalau kita lihat sasaran untuk capaian di media sosial untuk tahun ini 100 juta tapi kita dah capai lebih 462 juta beberapa hari lalu."
Penjelasannya mengagumkan saya, bermakna ramai yang membaca Al-Quran, bererti, ramai menyahut daya pikat buku terhebat diturunkan pada 17 Ramadan, di Gua Hira' Jabal Nur ini. Ketika peristiwa ini juga, malaikat Jibrail memeluk Nabi Muhammad dengan kuat serta berkata: Ïqra' yang bermaksud (bacalah).
Tetapi mengapa ya, sukar untuk kita membaca Al-Quran, walaupun kita sedar daya pikatnya ada?
"Kempen ini salah satu daripadanya, untuk mengajak khalayak membaca al-Quran secara berpesta, kerana pesta itu ramai yang gemar. Yang lain-lain, akan menyusul kemudian, barangkali platform yang lebih menjentik rasa,'' kata Marhaini.
"Kita boleh sahaja andaikan al-Quran itu makanan kegemaran kita, untuk suburkan minda, beri zat kepada rohani seperti makanan yang kita suka, budu misalnya. Tidak ada budu tidak boleh. Budu perlu ada, jika tiada, hidangan jadi tawar, tidak memikat, tiada tarikan. Maka, tukar paradigma tentang Al-Quran.
"Bayangkan al-Quran seperti makanan berzat, jika tidak diberi protein, vitamin dan sebagainya, sudah tentu badan kita akan meragam, ini perlu dicas, dan cas itu tentunya al-Quran,'' kata seorang pencinta buku yang saya kenali sebagai Pak Othman pula sebagai saranan untuk lebih mencintai al-Quran.
Kempen World#Quran Hour sememangnya menarik untuk diwujudkan - bermatlamat menghidupkan budaya membaca dan menghayati al-Quran. Ketika diadakan sebelum ini, di masjid-masjid tempat duduknya sentiasa penuh, ia cerminan kepada minat untuk turut serta mencari panduan yang ada dalam kalam Allah SWT itu. Alhamdulillah.
Dan, Ramadan, bulan turunnya al-Quran adalah juga bulan untuk motivasi diri, mengubah menjadi yang lebih baik.
Ingat, Mahatma Gandhi ada pernah berkata, apabila perut penuh, fikiran mulai tidur, bermakna di bulan puasa, bulan turunnya al-Quran, perut yang kosong dan "berehat sebentar" daripada disucikan racun dalam badan, daya fikir kita lebih waras dan penuh keinsafan.
Jika biasanya semasa perut penuh kita tidak membaca, semasa Ramadan ini, ketika perut kita tidak penuh, membacalah.
Maka, daripada sekian banyak buku yang terbit di dunia ini, pasti ada sebuah yang mengubah hidup seseorang — membacanya seperti menceduk semangat baru; rasa bagai dilahirkan semula. Buku apa? Ya, terpulang.
Namun, di hari Nuzul Quran, hari al-Quran, buku terhebat sekali di dunia ini, dilahirkan, teman setia yang terbaik, tidak pernah mengecewakan walau bagaimananapun layanan kita terhadapnya, bersedia berkhidmat kepada kita, ada baik serta moleknya menyahut seruan dari Gua Hira' Jabal Nur - bacalah!
* Azlinariah Abdullah ialah pencinta buku, Editor Astro AWANI dan penulis buku 'Pengembara Tanpa Pasport'.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Tue Apr 19 2022
Ramadan, bulan turunnya al-Quran adalah juga bulan untuk motivasi diri, mengubah menjadi yang lebih baik. - Gambar hiasan/Reuters
EPL: Salah jaring gol bersejarah, Liverpool bangkit atasi Leicester
Jordan Ayew membuka jaringan seawal minit keenam tetapi ia masih belum cukup untuk mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.
India berkabung atas kematian bekas PM Manmohan Singh, sanjung legasi reformasi ekonomi
Singh, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun di New Delhi malam Khamis, merupakan tokoh ekonomi dan pemimpin yang sangat dihormati.
Tindakan Pas politikkan sambutan Krismas tidak hormat hak rakyat berbilang bangsa - DAP
Tiga Ahli CEC DAP berkata, kepelbagaian etnik, ras, serta suku kaum di Malaysia perlu diraikan, difahami dan saling dihormati,
Anwar ucap selamat ulang tahun kepada Ramos-Horta
Anwar memuji Ramos-Horta sebagai seorang sahabat baik dan individu sejati dalam memperjuangkan kebebasan serta keadilan.
Tiga maut, empat cedera parah dalam kemalangan bas di utara Norway
Kejadian berlaku berhampiran Raftsundet di kepulauan Lofoten, destinasi pelancongan terkenal di utara Norway.
EPL: Gol dramatik Muniz buat Chelsea tersungkur di laman sendiri
Pertukaran pemain yang dilakukan Marco Silva pada lewat permainan membuahkan hasil yang cukup lumayan.
Kazakhstan tegaskan Azerbaijan, Rusia tidak terlibat dalam siasatan forensik nahas pesawat
Larangan itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Kod Jenayah Kazakhstan.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4665/4715 berbanding dolar AS daripada 4.4670/4715 ketika ditutup semalam.
Risiko & Peluang 2025: Menyingkap dinamika pergolakan pasaran
Ikuti perkongsian eksklusif bersama Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof tentang landskap ekonomi terkini dan potensi hala tuju Malaysia pada 2025.
AWANI Ringkas: Kesalahan khalwat berulang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
[KOLUMNIS] Nuzul Quran pencetus budaya ilmu
Kandungan al-Quran sarat dengan pengajaran utama berkenaan aspek akidah, syariah dan akhlak yang mesti diketahui umat Islam.
Perdana Menteri ajak umat Islam baca, hayati al-Quran
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak umat Islam membaca dan menghayati al-Quran agar tergolong dalam kalangan insan yang bertakwa.
[KOLUMNIS] Quran mengangkat darjat dan nilai kemanusiaan
Setiap tahun, peristiwa Nuzul Quran diingati umat Islam di seluruh dunia, menggambarkan Quran sentiasa dekat di hati.
Nuzul #QuranHour semarakkan karnival
Fazrul berkata, ayat Al-Quran menjelaskan bagaimana Allah memastikan semangat al-Birr dilatih kepada manusia agar mereka mampu membina jiwa beragama yang asli, bukan yang telah diselewengkan.
Najib seru umat Islam hayati semangat Nuzul Al-Quran
Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh umat Islam supaya sama-sama menghayati semangat Nuzul al-Quran serta bersatu dalam menegakkan agenda ummah.
Nuzul Quran diumum hari kelepasan untuk Wilayah Persekutuan mulai 2014
Kerajaan bersetuju untuk mengisytiharkan Hari Nuzul al-Quran sebagai hari kelepasan am bagi Wilayah Persekutuan KL, Putrajaya dan Labuan.