ARAU: Lebih 40,000 pemegang akaun di kawasan Arau dan Kangar terjejas akibat kerosakan pam air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 4, Kampung Sena di sini semalam, susulan gangguan elektrik terhadap suis utama pam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Perlis Izizam Ibrahim berkata gangguan elektrik itu menyebabkan dua daripada tiga pam di situ terjejas hingga menyebabkan bekalan air terputus.

Beliau berkata bagi memudahkan pengguna, Syarikat Air Perlis (SAP) menyediakan sembilan lori tangki untuk menyalurkan air ke kawasan kritikal dan akan menambah lori tangki sekiranya terdapat keperluan.

"Difahamkan berlaku lintar pintas di sini. Kerja-kerja kecemasan membaik pulih telah dijalankan oleh SAP... insya-Allah, kita akan buat secepat mungkin kerja baik pulih ini dalam tempoh 48 jam," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Pengurus Korporat SAP Nik Nazreen Yusrie Nik Jusoh berkata kerosakan pam itu menjejaskan kapasiti pengeluaran air iaitu daripada 100 peratus kepada 30 peratus hingga menyebabkan beberapa kawasan tidak mendapat bekalan air mencukupi.

"Apa yang kita buat daripada pasukan teknikal kita, kita telah bertungkus-lumus dari semalam dan hari ini kita dah jumpa punca. Masalah ini dapat diselesaikan cuma sekarang ini kita masih dalam proses ujian (dua pam terjejas itu).

"Jika masalah ini tidak berulang lagi, kita dapat menyalurkan bekalan air dalam tempoh 48 jam kepada semua pengguna," katanya.

-- BERNAMA