KUALA LUMPUR: Proses pembaikan susulan insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang mencapai tahap 55 peratus setakat jam 6 pagi, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, kerja pembaikan dijangka siap pada jam 6 petang nanti.

"Berikutan itu, air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna pada jam 6.30 petang hari ini secara berperingkat-peringkat ke 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat, setelah kerja-kerja siap dilaksanakan.

"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 petang, esok," katanya pada Selasa.

Pada Isnin, Air Selangor memaklumkan sebanyak 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, kerja-kerja pembaikan mengalami kesukaran disebabkan paip pecah terletak berhampiran sungai.

"Pengukuhan tebing perlu dilaksanakan terlebih dahulu di kawasan tersebut sebelum kerja membaiki paip pecah boleh dilakukan," ujarnya.

Tambah syarikat itu, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Jelasnya, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini," katanya.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.