Beliau berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengambil langkah awal sejak Februari, dengan melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) menerusi beberapa strategi.
Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata menerusi AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan pengekstrakan air dari empangan itu, bagi memastikan kapasiti air dapat bertahan.
"Kita memang pantau rapi dan tidak menafikan air (Empangan Air Itam) di bawah paras yang selesa, tetapi kita harap hujan akan mengisi semula air empangan kita kerana bermula April hingga Jun, ialah musim hujan.
"Kapasiti Empangan Air Itam ketika ini boleh bertahan lebih 30 hari sahaja lagi. Kita juga sudah mengambil langkah kurangkan pengekstrakan air dari empangan, jika kita tidak ambil langkah ini mungkin paras air empangan berada pada paras kosong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chow berkata kira-kira 10,000 akaun pengguna mendapat bekalan daripada Empangan Air Itam, namun ketika ini hanya separuh akaun pengguna memperoleh bekalan air dari empangan itu, manakala 5,000 akaun lagi memperoleh bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan empat empangan menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal, iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor dengan paras 31.65 peratus, Empangan Air Itam (35 peratus), serta Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) dan Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.
-- BERNAMA