GEORGE TOWN: Pelbagai sektor di Pulau Pinang sedang membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran kemasukan pelancong asing ke negeri ini dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mempunyai masa selama tiga minggu sebagai tempoh persediaan untuk semua pihak melakukan persiapan rapi sebelum sempadan dibuka sepenuhnya bagi Pulau Pinang menerima kemasukan pelancong melalui laluan udara dan laut .

"Kerajaan negeri menyambut baik keputusan pembukaan sempadan negara kerana ini akan merancakkan ekonomi dan pelancongan di Pulau Pinang, secara dasarnya kami menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin telah melaksanakan pelbagai inisiatif sejak dua bulan lepas untuk menyambut kedatangan pelancong asing ke negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April depan.

Mengulas lanjut, Chow berkata, Yeoh bersama pihak berkaitan telah mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pembukaan pintu sempadan ini dapat dilaksanakan dengan selamat.

Katanya persiapan-persiapan itu perlu diperhalusi dan setiap agensi perlu bersiap sedia untuk memastikan kelancaran operasi ketika pelancong dari luar negara masuk ke Malaysia menerusi Pulau Pinang.

"Tarikh 1 April dipilih supaya dapat beri ruang untuk setiap negeri membuat persiapan masing-masing dari segi prosedur dan sebagainya, "katanya. - BERNAMA