BUKIT MERTAJAM: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengambil tindakan drastik memeriksa rumah yang disewakan kepada warga asing di sekitar Machang Bubok di sini berikutan peningkatan kes denggi di sekitar kawasan berkenaan.


Ringkasan AI
  • JKNPP memeriksa rumah yang disewakan kepada warga asing di Machang Bubok akibat peningkatan kes denggi, dengan kawasan tersebut menjadi 'hotspot' selama 63 hari dan mencatatkan 27 kes.
  • Operasi dijalankan berdasarkan lokaliti 'hotspot' dan wabak tidak terkawal, mendapati rumahrumah masih kotor dengan kehadiran jentikjentik.
  • Di Juru, pemeriksaan mendapati keadaan yang sama, dan tujuh notis kompaun bernilai RM3,500 dikeluarkan kerana kebersihan tidak dijaga dan pembiakan jentikjentik.


Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata lokaliti itu antara kawasan 'hotspot' dengan tempoh paling lama iaitu 63 hari dan merekodkan 27 kes demam denggi membabitkan warga tempatan.

"Kami menjalankan operasi di kawasan itu berdasarkan lokaliti "hotspot" dan lokaliti wabak tidak terkawal dan sebanyak enam kes dilaporkan. Kami telah turun ke lokasi yang sama memberi penerangan kepada penduduk terutama warga asing yang menyewa di situ.

"Namun, pemeriksaan hari ini mendapati rumah disewa warga asing masih kotor dan terdapat jentik-jentik," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Gempur Aedes, di Machang Bubok dan Juru hari ini.

Mohd Wazir berkata pemeriksaan di Juru juga mendapati kediaman mereka kotor dan kawasan persekitaran tidak dijaga serta terdapat pembiakan jentik-jentik di dalam kasut getah, penutup tong cat, atas tikar getah terbiar serta luar premis dan pihaknya mengeluarkan tujuh notis kompaun bernilai RM3,500.

-- BERNAMA