Wanita dari Kelantan mungkin bakal jadi perdana menteri Malaysia satu hari nanti.
Sebelum anda tolak pendapat ini, dengar dulu penjelasan supaya nampak kaitannya.
Apa alasannya?
Kalau anda ke Kelantan, pernahkah anda melihat siapa yang mengemudi sebahagian besar perniagaan?
Di Pasar Besar Siti Khatijah sebagai contohnya, 80 peratus daripada peniaga ada di situ, adalah golongan wanita, tidak kira tua atau muda.
Dari sekecil-kecil penjual sayur, sehinggalah tokey besar di kedai emas, majoritinya adalah wanita.
Di tepi jalan contohnya, gerai mee celup ataupun penjual dengan motor, sama ada air buah mangga, atau colek - hampir semuanya wanita.
Ada apa dengan 'ore tino Klate'? sampai pok pok ni (mereka ini) ada semangat luar biasa dan berdaya ceburi bidang yang lazimnya didominasi lelaki?
Apa yang penulis boleh katakan, mereka ini lembut, tetapi lembut dalam tegas.
Berdasarkan pengalaman dan temuramah dengan beberapa wanita saya akui adakalanya kesempitan hidup jadi dorongan untuk menolak kemampuan diri ke tahap luar biasa.
"Ore Tino Klate ni jenis sanggup buat apo sajo demi anok-anok. Mok cik dulu susoh, kalu buleh, tokse anok-anok ni susoh supo kito, jadi semangat kami ni jadi lain sikit bilo hal anok (Wanita Kelantan ni sanggup buat apa sahaja demi anak-anak. Makcik dulu susah, kalau boleh, kami tak nak anak-anak susah seperti kami, bila hal anak, kami jadi semangat lain macam)," cerita Kak Ana atau Rohana Shafie, 55, peniaga kain dan tudung bawal di pasar Siti Khatijah.
Kak Ana ceburi bidang perniagaan kerana enggan anaknya hidup sepertinya.
Jelas Kak Ana, dari kecil juga dia melihat ibunya membanting tulang membesarkan dia dan adik-beradik yang lain.
Jadi semangat waja itu umpama diwarisi sejak dari generasi terdahulu.
Rohana ceburi bidang perniagaan selepas melihat ibunya membanting tulang membesarkan dia dan adik-beradik yang lain. - Astro AWANI/Marlina Manaf
Bagi Noor Hayati Md Nawal, 29 tahun, kecekalan wanita Kelantan ini tidak perlu diragui.
Mengambil contoh dua wanita ternama berketurunan Kelantan, seperti Datuk Seri Vida dan Neelofa, Noor Hayati tidak mahu sekadar jadi penonton.
Dia juga tidak ikut resam bekerja dalam bidang yang dipelajarinya.
Berkelulusan dalam Pengajian Undang-undang Syariah, Noor Hayati beralih ke bidang perniagaan kerana yakin dengan kemampuannya untuk meneroka bidang itu.
Malah, dia juga yakin, kalau semangat cekal waja luar biasa ini dibawa dalam politik, tidak mustahil wanita Kelantan boleh jadi pemimpin di peringkat nasional.
Walaupun berkelulusan dalam Pengajian Undang-undang Syariah, Noor Hayati beralih ke bidang perniagaan kerana yakin akan kemampuannya dalam bidang itu. - Astro AWANI/Marlina Manaf
"Insya Allah, dengan semangat cekal hok ado dengan ore tino Klate ni, tak mustahil, satu hari nanti, ore tino Klate ni boleh jadi perdana menteri, kalau betul kena gaya perjalanannya" Noor Hayati berkongsi pandangannya.
Kata Noor Hayati, dia harap impiannya ini boleh jadi kenyataan satu hari nanti.
Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.