KUALA LUMPUR: Orang ramai yang hadir ke Planetarium Negara malam tadi berpeluang menyaksikan planet Zuhal dan Musytari serta fenomena gerhana bulan separa menerusi aktiviti pencerapan anjuran agensi itu.

Sebanyak lapan teleskop disediakan bagi aktiviti itu, namun orang ramai yang mula hadir seawal 9 malam hanya dapat menyaksikan kedua-dua planet itu pada 12.30 tengah malam susulan langit berawan.

Pengunjung juga sabar menanti hingga awal pagi bagi satu lagi aktiviti cerapan iaitu melihat fenomena gerhana bulan separa.

Pegawai Sains Planetarium Mohd Zamri Shah Mastor berkata gerhana bulan separa, bermula dari 3.35 hingga 4.52 pagi, berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa sama bulan melintasi bayang bumi.

"Pencerapan gerhana bulan separa berlaku dari 2 hingga 6.26 pagi. Bagaimanapun pada 3.35 pagi barulah kesan gerhana itu nampak pada permukaan bulan.

"Kira-kira 12 peratus bahagian permukaan bulan kelihatan gelap dan ia berlaku maksimum pada pukul 4.52 pagi," katanya kepada Bernama.

 Gerhana Bulan Separa itu bermula dari 2.01 pagi hingga 6.27 pagi dan waktu gerhana bulan maksimum jam 4.14 pagi tadi berlaku apabila bulan terlindung oleh bayang umbra Bumi.  - Foto Bernama

Sementara itu, Mohd Jamaluddin Ismail, 48, yang datang bersama keluarga berkata peluang untuk melihat planet Zuhal, Musytari dan gerhana bulan separa adalah saat yang amat ditunggu oleh mereka.

"Ini merupakan kali kedua saya dan anak-anak datang ke sini. Kami memang minat dengan galaksi dan sangat terhibur dengan ilmu yang dapat pada hari ini selain menyaksikan sendiri fenomena alam yang berlaku," katanya.

-- BERNAMA