Kerajaan Negeri Perak digesa menyelesaikan kemelut pembangunan hidroelektrik kecil melibatkan 27 lokasi penempatan masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Tindakan itu diambil selepas masyarakat berkenaan kecewa kerana mendakwa ditipu pengendali projek berkenaan, Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC).

Penasihat Koperasi Pembangunan Orang Asli Perak, A. Ramesh mendakwa, PHREC telah melanggar Memorandum Persefahaman (MOU) yang dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.


Dakwa beliau, pihak PHREC telah melakukan pembalakan tidak terkawal serta tidak mengikut pelan mitigasi yang sepatutnya sehingga menjejaskan sumber rezeki masyarakat berkenaan khususnya di Sungai Kerian, Selama.

Mereka mendakwa pihak PHREC telah melakukan pembalakan tidak terkawal - Foto Astro AWANI

"Sebab itu saja mereka ada. Mereka tidak ada tanah Felda (atau) tanah hutan. Kenapa dia jaga tanah itu sebab ada ubi kayu, itu makanan dia, ada petai ada durian.

"Kalau dia (PHREC) ambil semua itu apa mereka nak makan? Sebab itu mereka pertahankan tanah mereka beratus tahun tetapi mereka membenarkan perubahan dalam hidup mereka kerana mereka tahu cuma kerajaan boleh bantu mereka.

"Dengan tiadanya dokumen yang sah kalau PHREC tak mahu menerima MOU ini kenapa tanda tangan? Ini adalah dokumen perundangan rasmi, 'stamped and sealed'," tegas Ramesh.

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Orang Asli Perak, Bah Azmi Ng Porgi berharap supaya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau wakil kerajaan negeri hadir dan turun padang melihat sendiri penderitaan yang dihadapi warga Orang Asli di negeri itu.

"Sebenarnya kalau boleh kerajaan negeri Perak sendiri turun ke kampung-kampung jangan beri arahan kepada JAKOA (Jabatan Kemajouan Orang Asli) sahaja.

"Sebenarnya JAKOA tidak buat kerja untuk masyarakat kami Orang Asli. Mereka (JAKOA) hendak memajukan masyarakat kami tetapi mereka tidak nampak bahawa dalam kemajuan itu ada kemunduran dalam masyrakat kami," tegas Bah Azmi.

Sidang media khas yang disertai oleh hampir 500 masyarakat Orang Asli di Ipoh pada Jumaat. - Foto Astro AWANI

Dakwanya lagi, PHREC juga tidak menghiraukan kehendak penduduk orang asli yang mahu projek tersebut diberhentikan dengan memberi alasan MOU yang ditandatangani sebelum ini adalah tidak sah.

Mereka ditemui pada satu sidang media khas yang disertai oleh hampir 500 masyarakat Orang Asli di Ipoh pada Jumaat.

Tinjauan Astro AWANI di Kampung Sungai Korbu, Sungai Siput turut mendapati rata-rata masyarakat Orang Asli di situ menolak sekeras-kerasnya projek tersebut.