SEPANG: Sejumlah 30 rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat sudah tentu memberi nafas lega buat ahli keluarga masing-masing yang menanti berita baik itu sejak 15 April lalu.

Astro AWANI mendekati beberapa rakyat Malaysia yang turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang 30 jam ketika keluar dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan.

Menurut aktivis kemanusiaan dari badan bukan kerajaan (NGO) World Vision, Jessica Choong, beliau berada di Sudan selama 16 bulan sebelum konflik berlaku.

"Ketika kejadian, kita sentiasa fikirkan dari mana (datangnya) bom atau misil yang terkena bangunan berhampiran. Terfikir juga macam mana kalau terkena bangunan yang saya duduki.

"Tapi rumah kedutaan Malaysia pun tiga kali terkena bedilan. Cuma kami berada di satu tempat yang betul-betul selamat sepanjang di rumah itu," jelasnya.

Demi keselamatan, kesemua mereka berlindung di surau bangunan berkenaan dalam keadaan berbaring, risau terkena peluru sesat.

Tidak lama selepas itu, warga kedutaan berjaya mendapatkan bas untuk membawa keluar kesemua rakyat Malaysia dari Khartoum.

Bagi Jassom Lim Jan Yoong, 44, beliau amat bersyukur sepanjang perjalanan keluar dari Khartoum sejauh lebih 1,300 kilometer (km) berjalan lancar.

"Pada masa itu, kami sangat bertuah sebab dapat keluar daripada Khartoum, sebab pada awalnya dikatakan tiga gencatan senjata nak dibuat, tetapi tidak berjaya.

"Jadi keputusan yang sukar ialah kami kena keluar daripada Khartoum, itu perjalanannya lah," katanya.

Sepanjang 30 jam menaiki beberapa buah bas, mereka terpaksa berhenti di Kassala untuk tidur semalam, sebelum meneruskan perjalanan sebaik solat Subuh keesokan harinya.

"Saya berada selama 16 bulan di Sudan bagi aktiviti kemanusiaan bersama NGO World Vision.

"Ketika ini, isu utama adalah kekurangan tempat tinggal. Ramai yang datang ke Sudan sebagai pelarian.

"Konflik yang berlaku ini menyukarkan lagi kerja-kerja kemanusian dijalankan. Di Sudan, mereka memerlukan ubat-ubatan, air, makanan berkhasiat, dan tempat tinggal," kata Jessica lagi.

Rakyat Malaysia adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia Khamis, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.