KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendedahkan terdapat mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat amal dipercayai milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB Holding) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan merupakan generasi ketiga atau keempat yang diasingkan daripada keluarga seawal usia dua tahun.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, polis juga mendapati kebanyakan ibu bapa mangsa berada di luar negara.

"Daripada maklumat mangsa-mangsa dan tangkapan, mereka mungkin generasi ketiga atau keempat manakala pembesaran mereka adalah hanya di taman asuhan berkenaan. 

"Berdasarkan risikan, polis mendapati apabila mereka berusia dua tahun, anak ini akan diasingkan daripada keluarga dan ditempatkan di rumah amal.

"Terdapat juga maklumat-maklumat yang mengatakan ibu bapa berada di luar negara seperti Arab Saudi selama enam tahun tapi anak berada di sini, ibu bapa berada di Turki tapi anak di sini," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Jumaat.

Razarudin menjelaskan, tindakan itu boleh diklasifikasikan berlakunya pengabaian dan penganiyaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan juga terarah untuk mengenal pasti sekolah yang dikendalikan GISB Holding itu didaftar di bawah Kementerian Pendidikan atau sebaliknya.

"Kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah namun tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya dan ia merupakan satu penganiayaan kepada mangsa berkenaan. 

"Sekiranya pendidikan itu berunsur agama maka pihak berkaitan perlu mendapatkan kelulusan atau permit daripada Jabatan Agama Islam negeri," ujanya lagi.