Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 1,226 pegawai dan anggota termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat dalam proses siasatan serta tindakan dalam menanggani kes itu.
“Jadi, daripada 80 kertas siasatan yang dibuka, polis dan semua agensi terlibat tentunya mengambil masa untuk melengkapkan dan menyempurnakan (siasatan) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Sama ada pendakwaan akan dibuat atau sebaliknya - itu kuasa di peringkat AGC,” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin, beliau berkata sekiranya jelas berlaku ekploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak, kesalahan seksual kanak-kanak mahu pun pemerdagangan manusia, tindakan perlu diambil.
Sejak Op Global fasa pertama bermula awal bulan ini, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan, 572 mangsa diselamatkan dan lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.
Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GISB, kini memasuki fasa empat.