KUALA LUMPUR: Seramai 200 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd telah ditahan dalam Op Global sejak 11 September lalu.


Ringkasan AI
  • Seramai 200 individu, termasuk 17 anggota pengurusan tertinggi GISB, telah ditahan sejak 11 September.
  • Seramai 139 suspek disambung reman, manakala 23 dibebaskan dengan jaminan polis. Permohonan reman dibenarkan selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007.
  • Polis menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah jagaan, dengan saringan kesihatan menunjukkan tanda-tanda pengabaian dan penganiayaan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini termasuk 17 anggota pengurusan tertinggi GISB, yang ditahan pada 18 dan 19 Sept di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Kedah.

Jelasnya, seramai 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman, manakala 23 dibebaskan dengan jaminan polis atas sebab tertentu.

"Permohonan reman bagi kesemua individu tersebut telah dibenarkan selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Setakat ini, polis telah membuka sebanyak 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Beliau juga memaklumkan kesemua mangsa berumur 18 tahun ke atas diserahkan kepada waris manakala mereka yang berumur di bawah 18 tahun pula diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kita sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalam operasi ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

"Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja berumur antara satu dan 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi yang dinamakan Ops Global.

Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku.