Lapan lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM Lumut, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot mencurigakan berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
Ekoran itu, katanya, Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut.
“KD Ganyang seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, menyedari kehadiran bot-bot TLDM di lokasi, bot PATI cuba melarikan diri tetapi berjaya digagalkan di lokasi 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Katanya, PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19.
“Kesemua PATI yang diberkas seterusnya akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.