Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk kerajaan Myanmar atas 'tindakan ganas secara sistematik' terhadap kaum minoriti Islam Rohingya dan meminta kerajaan negara itu membenarkan misi pencarian fakta oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan itu mahu badan antarabangsa itu menyiasat semua pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan membawa pelaku kekejaman terhadap masyarakat Rohingya itu ke muka pengadilan.

Keputusan itu dibuat oleh anggota OIC pada mesyuarat ketua-ketua negara dan anggota negara badan itu di luar Sidang Kemuncak Sains dan Teknologi OIC di Astanam, Kazakhstan, Ahad.

Mesyuarat itu juga menyatakan kebimbingan serius terhadap kekejaman sistematik tentera Myanmar terhadap masyarakat Rohingya di negara itu yang menyebabkan lebih 270,000 penduduk Islam itu melarikan diri ke Bangladesh.

Mesyuarat itu menggesa kerajaan Myanmar mengatasi punca sebenar kepada masalah itu termasuk penafian hak kewarganegaraan yang telah menyebabkan golongan itu tanpa negara dan penafian kepada hak-hak mereka.

Menurut laporan ringas Pengerusi OIC pada mesyuarat itu, badan Islam itu turut menggesa kerajaan Myanmar mengambil langkah-langkah segera bagi membolehkan pelarian Rohingya kembali semula ke wilayah mereka di Rakhine.

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan syor oleh Suruhanjaya Penasihat Mengenai Rakhine yang diketuai bekas setiausaha agung PBB, Kofi Annan.

Antaranya, suruhanjaya itu mencadangkan agar kerajaan Myanmar mengambil langkah kukuh menamatkan pemisahan yang dipaksa antara penduduk Buddha Rakhine dan Rohingya Islam, memastikan akses kemanusiaan tidak terbatas di seluruh wilayah itu, menangani masalah tiada negara, menyemak Akta Kewarganegaraan 1982, hapus sekatan kebebasan bergerak dan membawa pelaku jenayah hak asasi manusia ke muka pengadilan.

Tambahan, OIC turut meminta semua negara anggota supaya menyertai usaha komuniti antarabangsa ke arah menghapuskan sekatan kebebasan bergerak di wilayah Rakhine dan memastikan proses saringan pemberian kewarganegaraan secara telus serta akses kepada perkhidmatan sosial, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Mesayuarat itu juga bersetuju meneruskan usaha menyelaras penghantaran bantuan khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kawasan-kawasan yang terjejas di Myanmar.

-- BERNAMA