KUALA LUMPUR: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) komited dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memelihara sumber asli dan alam sekitar.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan memaklumkan jaringan kerjasama strategik bersama pemain industri dan pihak berkepentingan akan memanfaatkan penggunaan teknologi nuklear sekali gus menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara.

"Antara aktiviti utama pengisian program ini termasuklah sesi pembentangan sekitar 150 topik dan hasil penyelidikan oleh warga penyelidik Nuklear Malaysia," menurut kenyataan itu.

Bertemakan "Teknologi Nuklear Memacu Industri Negara dan Mengiktiraf Kecemerlangan Inovasi Sains dan Teknologi Nuklear", program itu bertepatan dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pada 20 Sept tahun lepas.

Turut dianjurkan pertandingan dan pameran Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024 melibatkan penyertaan 50 hasil inovasi penyelidikan para penyelidik Nuklear Malaysia, pelbagai institut penyelidikan, universiti awam dan universiti swasta.

Nuklear Malaysia turut menganjurkan satu sesi dialog awam bersama pihak berkepentingan mengenai Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang bertujuan memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri, institusi pendidikan dan penyelidikan serta organisasi bukan kerajaan mengenai hala tuju pelan tindakan yang digariskan di bawah dasar itu.

-- BERNAMA