KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat melibatkan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah setakat 4 petang ini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan maklumat ramalan hujan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri berkenaan sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.

Di Perak melibatkan Hilir Perak, Kerian, Larut, Matang dan Selama, manakala Melaka di Melaka Tengah; Pulau Pinang (Barat Daya, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut), sementara Selangor pula di Klang dan Petaling.

Grafik JPS

Di Johor melibatkan Batu Pahat dan Pontian, manakala Negeri Sembilan di Port Dickson; Terengganu (Besut), Sarawak (Limbang, Bintulu dan Kuching) serta Sabah (Beaufort).

Menurut JPS notis itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!

[TERKINI] Perkembangan banjir setakat jam 5 petang

Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan hari ini meramalkan penumpuan angin di kawasan pantai Kelantan dan Terengganu pada esok, yang berpotensi berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.

Penumpuan angin dijangka turut berlaku di Selat Melaka selama empat hari bermula Isnin ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan garis badai.

"Pembentukan garis badai ini akan membawa bersama ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri-negeri pantai barat Semenanjung terutamanya pada sebelah pagi,'' menurut kenyataan itu.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan di semua laman media sosial agensi itu, serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.

-- BERNAMA