NEW DELHI: Nilai dagangan Malaysia-India tahun lalu menunjukkan peningkatan baik pada kadar 15 peratus dan momentum itu disasar meningkat tahun ini dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan status hubungan daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) turut menyaksikan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas serta memperkukuhkan hubungan dua hala secara menyeluruh.

"Ini merangkumi banyak pelaburan dan perdagangan dalam sektor seperti pembuatan, semi konduktor, ekonomi digital dan teknologi kewangan,sampailah aspek keselamatan makanan dan sebagainya.

"Malah, sebelum ketibaan Perdana Menteri, berlangsung Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif membabitkan syarikat Malaysia dan India, yang turut disertai Majlis Perniagaan Malaysia India," katanya.

Beliau berkata demikian pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke India pada Rabu, sejurus sebelum pulang ke tanah air.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, syarikat India telah memberi komitmen untuk melabur dalam tiga syarikat Malaysia membabitkan RM4.5 bilion dan dari segi perdagangan, mendapat komitmen untuk membeli barangan Malaysia seperti elektrikal dan elektronik, minyak sawit, kimia, bernilai RM8 bilion.

"Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi kita masa tiga bulan untuk kembali melaporkan kemajuan kepadanya mengenai apa yang kita boleh buat bersama-sama dengan India dan dari sudut perdagangan.

"Memanglah ada banyak bidang baharu yang kita boleh tumpukan," ujarnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul, menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman membabitkan syarikat dari Malaysia dan India, merangkumi industri logistik, ekuiti swasta, pelaburan dan syarikat pemula.