Anggota Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad didenda RM1,500 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menganjurkan perhimpunan "Black 505" tanpa kebenaran tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut memerintahkan Nik Nazmi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, menjalani hukuman penjara dua minggu jika gagal membayar denda.

Nik Nazmi membayar denda itu.

Terdahulu, peguam Shahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi memohon kepada mahkamah supaya menjatuhi hukuman ringan memandangkan ketika kejadian anak guamnya tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada anggota politik lain supaya sentiasa menghormati undang-undang negara ini.

Pada 5 Jan lepas, Nik Nazmi, yang didakwa buat kali ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program Black 505 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Nik Nazmi didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013 dan kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Nov 2013.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 8 Mei 2014, Nik Nazmi didakwa untuk kali kedua terhadap pertuduhan sama.

Bagaimanapun, pada hari sama, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan tanpa membebaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim itu juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April, 2014.

-- BERNAMA