KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Nik Nazmi berkata, ia susulan keputusan Kabinet hari ini yang memutuskan bahawa anggota pentadbiran iaitu menteri dan timbalan menteri tidak boleh bertanding jawatan dalam persatuan sukan, lapor Bernama.

"Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional," katanya menerusi hantaran dalam platform X hari ini.

Pada masa sama, katanya beliau akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers yang merupakan antara kelab gabungan KLFA yang diasaskan olehnya sejak 2018.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menamakan beberapa muka untuk menjawat posisi Ahli Jawatankuasa KLFA bagi mengemudi badan induk berkenaan menjelang pemilihan Exco baharu dalam Mesyuarat Agong Tahunan persatuan itu nanti.

Sementara itu, Fahmi berkata: "Ia adalah berdasarkan satu keputusan Kabinet pada tahun 2007. Jadi kita putuskan hari ini bahawa kita akan teruskan amalan untuk tidak terlibat dan tiada pengecualian.

"Berkuat kuasa serta-merta, saya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden KLFA," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini.

Fahmi berkata beliau telah merujuk keputusan itu kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.