Seorang nenek maut dipercayai di pukul dengan kuali oleh jiran yang cuba menyamunnya di Kampung Belukar Jambu di sini petang Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang yang menyebabkan Rokiah A.Rahman, 84, mati di tangan jirannya yang berumur sekitar 30-an dan berasal daripada Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata insiden itu disedari anak perempuan mangsa yang baru pulang dari kerja.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, anaknya terkejut apabila melihat ibunya dalam keadaan terbaring.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas badan mangsa, kita tidak menemui kesan kecederaan pada mangsa, namun kita percaya kuali itu digunakan berdasarkan kuali itu terdapat berhampiran mayat mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan suspek merupakan rakan sekerja anak mangsa.

Idris berkata anak mangsa Saripah Ibrahim, 52, memberitahu apabila dia sampai di rumah, dia terdengar sesuatu berlaku di dalam rumahnya.

"Dia kemudian terkejut apabila mendapati ibunya terlentang di ruang tamu, manakala suspek yang menutup separuh mukanya dengan kain bersembunyi di belakang almari.

"Suspek kemudiannya keluar dari celah almari dan mencekik serta mengetuk kepala Saripah hingga menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka," katanya.

Beliau berkata adik Saripah yang sedang berada di belakang rumah terdengar jeritan kakaknya dan segera naik ke atas rumah bagi menolong kakaknya.

Suspek akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai yang menyedari kejadian itu.

-- BERNAMA