KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus syarikat kontraktor pembalakan kerugian RM238,000 selepas ditipu dua lelaki yang menjalankan urus niaga jual beli kayu balak sejak dua tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian bermula pada 21 Ogos 2022 apabila mangsa ditawarkan suspek membeli kayu balak dengan harga RM450,000.

Beliau berkata suspek mendakwa penjualan tersebut telah mendapat kebenaran daripada pihak FELCRA Bhd,, yang didakwa bersetuju meluluskan urusan jual beli saki-baki kayu balak di satu kawasan.

"Mangsa telah dibawa ke kawasan pembalakan untuk melihat sendiri komoditi tersebut, sekali gus menambahkan kepercayaan beliau terhadap suspek.

"Suspek menawarkan mangsa untuk membuat pembayaran secara berperingkat. Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM238,000 ke akaun berasingan milik dua suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Azli berkata mangsa dan dua suspek juga telah pergi ke pejabat guaman untuk membuat surat perjanjian.

Bagaimanapun pada 2023 mangsa telah dihubungi oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang memaklumkan bahawa surat pengesahan yang didakwa dikeluarkan oleh pihak FELCRA Bhd adalah palsu.

"Mangsa yang berusia 38 tahun telah berhubung dengan suspek yang dikenali untuk menuntut semula wang tersebut, tetapi tidak dilayan.

"Mangsa mengambil masa yang lama untuk membuat laporan kerana masih lagi ingin menyelesaikan cara baik. Bagaimanapun, keengganan suspek menyebabkan mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis semalam," katanya.

-- BERNAMA