Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyalurkan bantuan kepada golongan nelayan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda Perak, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bagaimanapun bancian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalurkan kepada nelayan yang terjejas banjir.

"Kita mengambil berat dan prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka dan bukan sahaja nelayan, petani serta penternak yang terlibat juga kita akan bantu.

"Bantuan akan diberikan secepat mungkin dan ketika ini pegawai kementerian sedang memantau dan melakukan bancian terhadap golongan nelayan yang terjejas," katanya.

Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 18 keluarga mangsa ribut di Kampung Sungai Timah di sini hari ini.

Setakat tengah hari tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus berkurangan kepada 568 orang daripada 134 keluarga dan tujuh pusat pemindahan sementara masih beroperasi di Manjung dan Muallim

-- BERNAMA