IPOH: Seorang nelayan tempatan yang disyaki terjatuh dari botnya ditemui selamat di perairan Pulau Sembilan, pada jarak 16.1 batu nautika selatan Pulau Pangkor, pada Sabtu.

Mangsa yang berusia 22 tahun ditemui oleh sekumpulan nelayan yang menaiki bot lain kira-kira jam 9 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri  Khotob berkata, kru bot itu kemudiannya menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak.

Menurutnya, Maritim Negeri Perak telah mengatur gerak Bot PSC 24 Marin dari Pasukan Polis Marin dan Bot FCB 1030 dari Tentera Laut Diraja Malaysia ke lokasi tersebut untuk memberi bantuan kepada mangsa.

“Bot PSC 24 Marin telah berjaya memindahkan mangsa dari bot nelayan terbabit, seterusnya membawa mangsa ke Jeti Penumpang Marina Lumut untuk menaiki ambulans kira-kira jam 11.30 pagi ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Maritim Malaysia dalam pada itu mengingatkan  komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu ketika ini.

“Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan segala keperluan peralatan keselamatan serta bot berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Di samping, Mohamad Shukri berkata, mereka juga perlu sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.
   
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.