SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar melibatkan sebanyak 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Seremban merupakan daerah terakhir mencapai sifar miskin tegar dengan bilangan 922 KIR semalam, hasil pelbagai inisiatif digerakkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPNNS).

Aminuddin berkata usaha menoktahkan kemiskinan juga ialah agenda utama dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) selain disokong dengan penubuhan Task Force Pembasmian Miskin Tegar.

"Selain itu, Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) diaktifkan dan melancarkan kaunter bergerak eKasih bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"PPNNS menyemak, merekod dan mengesahkan semua maklumat bantuan disalurkan melalui Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan dari setiap daerah ke dalam Sistem eKasih," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Masjid Saiditina Aishah Bandar Seremban, Selatan di sini hari ini.

Aminuddin berkata selain itu, terdapat tiga siri bengkel pemurnian data telah diadakan melibatkan agensi pemberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal (MAINS) serta agensi pelaksana iaitu pejabat-pejabat daerah di negeri ini.

"Terima kasih dan penghargaan kepada semua wakil rakyat, agensi pemberi bantuan, agensi pelaksana, Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan di peringkat daerah serta PPNNS yang bertindak selaku urus setia penyelaras gerak kerja menoktahkan miskin tegar tahun ini," katanya.

Beliau berkata kerjasama secara bersepadu antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diperkemas dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan kepada suatu kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri menerusi kerjasama jabatan dan agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri, masjid di seluruh negeri ini termasuk kampung-kampung berhasil mengutip dana Peduli Palestin berjumlah RM1.5 juta iaitu melepasi sasaran RM1 juta yang ditetapkan.

"Saya yakin dengan usaha kecil ini akan menjadikan negeri ini bertambah berkat. Hari ini kita serahkan sumbangan kepada pihak Global Peace Mission Malaysia selaku badan bukan kerajaan yang akan menguruskan dana ini untuk diserahkan kepada rakyat Palestin di Gaza," katanya.

-- BERNAMA