SEREMBAN: Muzium Negeri, Negeri Sembilan yang terletak di Kompleks Taman Seni Budaya Seremban akan mula mengenakan bayaran tiket masuk ke galeri pamerannya bermula bulan depan setelah beroperasi lebih 40 tahun secara percuma.

Pengurusan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata bayaran masuk warganegara ditetapkan RM6 bagi dewasa, RM1 bagi pelajar sekolah, dan percuma bagi kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, manakala bukan warganegara dikenakan caj RM10.

"Terdapat pelbagai pakej menarik seperti Pakej Makan Berselo, Pakej Permainan Tradisional dan Pakej Berbusana Tradisi Negeri Sembilan. Muzium Negeri dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Isnin, hari pertama Aidilfitiri dan Aidiladha," menurut kenyataan itu.

Muzium lain di bawah Lembaga Muzium Negeri Sembilan masih beroperasi secara percuma.

Lembaga Muzium Negeri Sembilan sedia menerima maklum balas atau sebarang pertanyaan berkaitan notis berkenaan melalui talian telefon 06-7631149 atau email di muziumn99@gmail.com.

-- BERNAMA