JELEBU: Dua calon persendirian berusia lebih 60 tahun antara 16,929 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Negeri Sembilan tahun ini.

Abdul Kadir Tapre, 63, mendaftar tujuh mata pelajaran sementara Johan Hamzah, 62, mendaftar tiga mata pelajaran dengan masing-masing mengambil kertas peperiksaan di Pusat SM Summit 2 di Seremban.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Penjabat Pendidikan Daerah, Putra Hashim berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan itu, ia menunjukkan peningkatan 952 calon atau 6.0 peratus berbanding 15,977 calon SPM 2023.

"Peperiksaan SPM 2024 di Negeri Sembilan berlangsung di 145 pusat peperiksaan membabitkan seramai 901 petugas peperiksaan.

"Daripada keseluruhan calon SPM, seramai 14,824 adalah pelajar sekolah kerajaan, Maktab Rendah Sains Mara (412), sekolah kerajaan negeri (53), sekolah swasta (755), calon persendirian (804) dan Sekolah Agama Rakyat (81)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu Kuala Klawang di sini pada Khamis.

Ujarnya, seramai 10 calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban; Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah; KPJ Seremban, Hospital Rembau, Hospital Jempol, Hospital Tampin, Hospital Port Dickson dan Hospital Selayang di Selangor kerana masalah kesihatan dan kemalangan.

"Terdapat 62 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang mempunyai masalah pembelajaran, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, OKU penglihatan, OKU pertuturan, OKU fizikal dan pelbagai yang lain.

"Kami juga bersiap sedia dengan sebarang risiko sepanjang peperiksaan ini termasuk Operasi Payung bagi menangani ujian banjir dan jangkaan Luruan Monsun Timur Laut mulai 5 November 2024 hingga Mac 2025," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Pendidkan Negeri Sembilan (JPNS) menyasarkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.13 mata pada SPM 2024 berbanding GPN 4.33 tahun lepas.

Peperiksaan bertulis SPM 2024 akan berlangsung mulai Khamis sehingga 6 Februari nanti. - Sinar Harian