Datuk Nawawi Ahmad mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada hujung bulan ini.

Bekas Anggota Parlimen Langkawi itu berkata peletakan jawatannya adalah bagi memberi laluan kepada pelantikan pengerusi baharu oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya pelantikannya itu adalah atas dasar politik oleh kerajaan sebelum ini yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Biarlah saya memberi laluan kepada kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk melantik orang yang boleh menerajui KTMB, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri KTMB di sini, pada Selasa.

Katanya jawatan beliau sepatutnya tamat pada Februari 2020 selepas dilanjutkan perkhidmatannya sehingga enam tahun bermula Februari 2014.

"Bagaimanapun, dari segi politik saya akan tetap bersama UMNO," katanya yang juga ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Nawawi berkata beliau banyak belajar daripada Dr Mahathir sepanjang bertanding di kawasan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Walaupun pesaing saya adalah Tun Dr Mahathir, saya tidak pernah cakap buruk tentang beliau malah saya sangat menghormatinya sebagai veteran politik dan kami bersaing secara sihat di Parlimen Langkawi," katanya.

Dr Mahathir menewaskan Nawawi yang ketika itu penyandang kerusi Parlimen Langkawi dan calon PAS Zubir Ahmad dalam PRU14 pada 9 Mei lepas dengan majoriti 8,893 undi.

-- BERNAMA