Nama Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia pada Isnin lalu kini diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, Kuala Kubu Bharu.

Memetik laporan Sinar Harian, tugu yang terletak di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu mengabadikan senarai anggota seluruh negara yang terkorban ketika berkhidmat.

Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail berkata tugu peringatan itu merekodkan nama 23 anggota bomba yang terkorban ketika bertugas di seluruh negara sejak 1993.

"Allahyarham Muhammad Adib adalah yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Oktober lalu.

"Tugu peringatan ini juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan menghargai pengorbanan anggota bomba terbabit," katanya.



 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia

Grafik Astro AWANI

Muhammad Adib, 24, merupakan Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya cedera parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian di sebuah kuil, 27 November lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Md Ali berkata, majlis tahlil buat Allahyarham Muhammad Adib turut diadakan sebelum acara ringkas meletakkan tanda nama itu.