Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada calon Perdana Menteri India, Narendra Modi, atas kemenangan parti pimpinannya Bharatiya Janata Party (BJP) dalam pilihan raya negara itu, pada Jumaat.

"Tahniah kepada Narendra Modi dan BJP atas kemenangan dalam pilihan raya 2014. Berharap untuk meneruskan rakan perkongsian yang lebih kukuh antara Malaysia-India di bawah kerajaan anda," kata Najib dalam tweet terbarunya hari ini.

BJP, parti berhaluan nasionalis India, dijangka akan membentuk kerajaan baharu India selepas mencapai kemenangan bersejarah dengan menewaskan parti pemerintah, Parti Kongres, pada pilihan raya itu.

Pada pilihan raya itu, Pakatan Demokratik Kebangsaan (NDA) yang diketuai BJP memperoleh 336 kerusi manakala Kongres yang mengetuai Pakatan Progresif Bersatu (UPA) hanya memperoleh 58 kerusi daripada 543 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Baki 149 kerusi dimenangi oleh parti-parti wilayah di negara itu.

Pada pilihan raya lepas, BJP hanya menang 159 kerusi manakala Kongres mendapat 262 kerusi.