Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan lawatan sehari ke negeri ini hari ini dengan menghadiri program Jelajah Janji Ditepati di Stadium Utama di sini.

Ketibaan perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di stadium itu disambut ribuan penduduk berpakaian baju T berwarna oren serta kepimpinan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Selepas program yang turut menyaksikan kerjasama penduduk tempatan dalam kegiatan gotong royong menyediakan kenduri kampung itu, perdana menteri dijadual merasmikan kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra dan menyampaikan baucar buku kepada penuntut.

Najib dan isteri kemudian dijadual menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid di Istana Arau.

Lawatan sehari itu diakhiri dengan menghadiri perjumpaan bersama golongan muda di Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis pada sebelah petang.

Sementara itu, Rosmah mempunyai jadual berasingan pada sebelah petang iaitu mengadakan perjumpaan mesra dengan pertubuhan-pertubuhan wanita di Hotel Seri Malaysia di sini.