Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima sijil Urus Tadbir Berprinsip Caux Round Table (CRT) sebagai pengiktirafan atas kepimpinan cemerlangnya sebagai arkitek program transformasi kerajaan.

Najib menerima anugerah itu daripada Pengarah Eksekutif Global CRT, Stephen B Young di kompleks Perdana Putra.

Antara tokoh yang pernah menerima CRT ialah bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan dan bekas Presiden Poland, Lech Walesa.

CRT memilih Najib di atas seluruh perhatian dan tenaganya bagi menggalakkan lapan nilai 1Malaysia mengikut visi yang disasarkan.

Najib juga menerima anugerah itu di atas usahanya memulakan program transformasi kerajaan dengan tumpuan menyeluruh daripada memacu kemajuan negara ke tahap kecemerlangan yang baharu dari segi sosial, ekonomi dan politik.

CRT memberi pengiktirafan dengan penghargaan orang awam berhubung komitmen Najib mengenai pentingnya keadilan dan prinsip urus tadbir dalam sebuah masyarakat demokratik dan bertanggungjawab.

Caux Round Table adalah sekumpulan pemimpin perniagaan dari seluruh dunia yang menggalakkan prinsip etika yang kukuh untuk perniagaan dan kerajaan.