Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi kesedihan terhadap nasib dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang, Kelantan, yang ditemui meninggal dunia selepas hilang sejak Ogos lalu.

Perdana Menteri dalam akaun Facebooknya malam tadi juga meluahkan rasa kesyukuran terhadap dua lagi murid yang ditemui selamat Jumaat pagi.

"Dua murid SK Tohoi yang hilang telah dijumpai selamat, Alhamdulillah. Tetapi pada masa sama, saya berkongsi kesedihan keluarga dua lagi yang ditemui telah meninggal dunia. Semoga roh mereka dicucuri rahmat," katanya.

Najib juga berkata pasukan mencari dan menyelamat akan meneruskan usaha dan melakukan yang terbaik dan turut meminta semua rakyat Malaysia berdoa agar yang lain akan ditemui.

Terdahulu Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari, bersama satu mayat perempuan.

BACA: Kronologi: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi, Gua Musang

BACA: Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, gembira dalam tangisan

Kedua-dua kanak-kanak itu, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Mayat yang ditemui pula dikenal pasti sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang ini di Hospital Gua Musang (HGM).

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Semalam, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.