KUALA LUMPUR: Masyarakat Orang Asli dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias yang terkesan dengan Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan dijangka dipindahkan ke penempatan baharu pada pertengahan 2026.


Ringkasan AI
  • Masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri akan dipindahkan ke penempatan baharu pada pertengahan 2026.
  • Sebanyak 250 daripada 280 ketua isi rumah telah bersetuju dengan pakej pampasan dan penempatan semula yang merangkumi perumahan, ladang getah, dusun, elaun, dan logistik perpindahan.
  • TNB akan membayar pampasan tunai tambahan dan semua bayaran tunai dijangka dibayar sebelum perpindahan pada 2026.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini, sejumlah 250 daripada 280 ketua isi rumah telah bersetuju dengan pakej pampasan dan penempatan semula manakala bakinya masih dalam proses rundingan.

Beliau berkata tawaran pakej itu, yang membabitkan dua tapak berkeluasan lebih 2,000 ekar, merangkumi perumahan selesa dengan infrastruktur dan kemudahan moden serba lengkap, pembangunan ladang getah serta tapak dusun sebagai sumber pendapatan penduduk, bantuan elaun dan logistik perpindahan selain bantuan sara hidup bulanan sementara ladang getah belum memberi hasil.

"Dalam memastikan kepentingan masyarakat setempat tetap terpelihara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan pelbagai program libat urus dan tanggungjawab sosial bersama komuniti di sekitar tapak cadangan projek khususnya bersama masyarakat Orang Asli sejak 2014.

"Lebih 30 sesi libat urus telah dilaksanakan termasuk anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)," katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air itu berkata TNB juga akan memberi pampasan tunai tambahan jika nilai pampasan gantian belum dapat menampung sepenuhnya anggaran nilai kerugian sebenar terutama akibat kehilangan pokok tanaman.

Beliau berkata semua bayaran tunai termasuk pampasan pokok tanaman dijangka mula dibayar selewat-lewatnya pada 2026 iaitu sebelum masyarakat Orang Asli berpindah ke penempatan baharu.

Fadillah berkata TNB juga mengenal pasti lokasi lain seperti Kampung Depak, Kampung Bering, Kampung Lama Gemalah, Kampung Tinjing dan Kampung Guling yang sebahagian kecil kawasan tanamannya turut terjejas serta tidak perlu dipindahkan.

"TNB telah melaksanakan proses awal bancian kerugian sejak penghujung 2023 dan dijangka proses untuk pengurusan pampasan dilaksanakan selepas Julai ini," katanya.

Mengulas isu air di Kelantan, beliau berkata projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang bagi merawat air mentah dari Takungan Air Pinggiran Sungai Machang dijangka siap pada April 2029.

Selain itu, Kajian Pembangunan Sumber Air bagi Negeri Kelantan sedang dilaksana dan dijangka siap pada Oktober 2024 melibatkan kos keseluruhan RM20 juta.

-- BERNAMA