KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Najib, 68, selaku defendan menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkan menerusi Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di sini, pada 29 Mac.

Najib mendakwa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly).

"Kenyataan saya itu memberi penegasan kepada kelakuan parti gabungan PH bersifat hipokrit yang mendakwa nepotisme, kronisme dan pelantikan politik terhadap gabungan politik saya (pada ketika itu gabungan Perikatan Nasional), kerana pelantikan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan walaupun pada hakikatnya semasa PH berada dalam kerajaan, pelantikan yang sama dibuat tanpa sebarang bantahan PH.

"Interpretasi plaintif terhadap dakwaan yang merujuk kepadanya adalah salah dan diambil di luar konteks. Tambahan pula, tiada sebarang dakwaan-dakwaan secara langsung atau tidak langsung dibuat oleh saya bahawa sebarang pelantikan yang dibuat itu adalah salah," dakwa Najib.

Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, pada 12.54 tengah hari mengenai isu kronisme, berserta satu lampiran paparan skrin artikel Sinar Harian bertarikh 28 Jan 2019 dengan gambar wajah plaintif.

Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa Najib telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya, dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen-ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara, perintah untuk defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA