KUALA LUMPUR: Tiada unsur sabotaj, letupan atau kebakaran dalam insiden kemalangan Pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens.

Demikian antara dapatan siasatan dalam Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Nahas Pesawat Sabah Air yang didedahkan kepada umum bermula Rabu.

Laporan itu juga meragui pengalaman juruterbang kerana berdasarkan rekod perkhidmatannya sebelum itu, prestasinya dalam menerbangkan pesawat adalah sangat buruk.

Juruterbang juga, dalam laporan itu menyebut dalam keadaan di bawah tekanan untuk kembali ke Kota Kinabalu dari Labuan, kerana sakit dan mungkin sedikit kepenatan.

BACA: Tragedi Double Six: Laporan akhir nahas Sabah Air didedah minggu depan - PM

Laporan itu juga memaklumkan punca kejadian adalah disebabkan pesawat hilang kawalan apabila juruterbang mahu mendaratkan pesawat.

Selain itu, laporan itu menyatakan tiada bukti mengaitkan nahas itu dengan kerosakan awal pada enjin atau kerana pesawat tidak diselenggara sebaiknya.

Laporan tersebut antara lain mendapati pesawat Model GAF N-22B Nomad itu diselenggarakan dengan baik dan mengikut jadual penyelenggaraan ditetapkan.

Bahkan, juruterbang juga mempunyai lesen untuk menerbangkan pesawat itu.

BACA: Tragedi Double Six: 'Kerajaan perlu minta Australia keluarkan laporan penuh' - Bekas KM Sabah

Laporan tersebut keluar genap seminggu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jemaah menteri bersetuju untuk mendedahkan laporan akhir nahas tersebut.

Dokumen dengan 21 halaman itu memaparkan maklumat berkaitan tragedi berkenaan dengan perkataan ‘TERBUKA’ dipaparkan di setiap halaman.

Pada halaman ke-16 dokumen itu, tertera nama dan tandatangan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Omar Saman yang mengetuai siasatan nahas tersebut.

Tarikh laporan itu dikeluarkan adalah pada 25 Januari 1977, tidak sampai setahun selepas insiden yang mengorbankan beberapa pemimpin utama Sabah pada waktu itu berlaku.

Berikut antara dapatan lain yang dikongsikan dalam laporan akhir itu:

Orang awam kini boleh mendapatkan dan membaca Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Nahas Pesawat Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976.


Pantau Agenda Reformasi: Tragedi Double Six | Laporan Nahas Sabah Air Didedahkan Minggu In

Laporan tersebut boleh diperoleh menerusi laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan melayari pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.

Menerusi pautan tersebut, salinan dokumen dalam bentuk PDF disediakan kepada pelayar, boleh terus dibuka dan dimuat turun sebaik saja berjaya mengakses laman web berkenaan.

PM Anwar sebelum ini menegaskan Jemaah Menteri bersetuju untuk mengambil langkah tersebut walaupun selepas mengambil kira beberapa komplikasi yang mungkin timbul, antaranya dari segi perundangan.

Namun, tegas beliau, umum terutamanya rakyat Sabah dan waris mangsa berhak untuk mengetahui perincian laporan nahas itu, yang tidak wajar lagi diklasifikasikan bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Nahas yang juga dikenali sebagai Tragedi Double Six mengorbankan 11 orang termasuk Menteri Kewangan negeri Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin serta Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun.