Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Tun Fuad Stephens yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Berikut ringkasan fakta daripada laporan akhir kemalangan itu:
- Laporan akhir tersebut dikeluarkan pada 25 Januari 1977, tidak sampai setahun selepas kemalangan berlaku.
- Tiada unsur sabotaj, letupan atau kebakaran dalam kemalangan tersebut.
- Juruterbang tidak mempunyai rekod prestasi yang baik sebelum kemalangan berlaku.
- Juruterbang berada dalam keadaan tekanan untuk kembali ke Kota Kinabalu dari Labuan dan mungkin sedikit kepenatan.
- Kejadian disebabkan pesawat hilang kawalan apabila juruterbang mahu mendaratkan pesawat.
- Tiada bukti mengaitkan nahas itu dengan kerosakan awal pada enjin atau kerana pesawat tidak diselenggara sebaiknya.
- Pesawat Model GAF N-22B Nomad itu diselenggarakan dengan baik dan mengikut jadual penyelenggaraan ditetapkan.
- Juruterbang mempunyai lesen untuk menerbangkan pesawat itu.
- Pesawat tidak melebihi had muatan ditetapkan.
- Kedudukan Pusat Graviti pesawat dikira berada di luar had yang diluluskan.
- Maklumat muatan tidak disediakan.
- Maklumat penumpang tidak dilengkapkan.
- Tiada pelan penerbangan, IFR, difailkan seperti dikehendaki oleh Manual Operasi untuk penerbangan VVIP.
- Jumlah beban bahan api tidak dimasukkan dalam log Teknikal.
- Bahagian kerosakan log teknikal tidak dibersihkan mengikut amalan yang disyorkan.
Orang awam kini boleh mendapatkan dan membaca Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Nahas Pesawat Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976.
Laporan tersebut boleh diperoleh menerusi laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan melayari pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.
Menerusi pautan tersebut, salinan dokumen dalam bentuk PDF disediakan kepada pelayar, boleh terus dibuka dan dimuat turun sebaik saja berjaya mengakses laman web berkenaan.