SELASA… 23 April 2024, tarikh yang tidak mungkin boleh dilupakan rakyat Malaysia.
Tidak juga boleh dilupakan ahli keluarga 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut.
Satu negara bersimpati, bersedih dengan perginya pejuang yang telah banyak berjasa buat Malaysia.
Bingkisan ini istimewa buat semua wira yang kini telah pergi, nukilan wartawan Astro AWANI, Ridauddin Daud.
KOMPILASI LAPORAN MENGENAI NAHAS HELIKOPTER LUMUT
Pagi Selasa bermulalah segala ceritanya.
Bilik berita Astro AWANI sibuk. Semua dengan telefon masing-masing, mencari pakar dari serata negara.
Sebaik insiden disahkan, ‘breaking mode’ diaktifkan. Berita pada hari itu tertumpu kepada tragedi menyayat hati berkenaan.
Penulis pada waktu itu berada di rumah. Pertama kali melihat video insiden, hati terus berdoa. Semoga semuanya selamat, tiada terkorban.
Apabila disahkan 10 mangsa maut, hati berkecamuk, remuk rasanya. Sebagai anak kepada tentera, kesedihannya lebih terasa, seolah mereka semua adalah keluarga.
Penulis kemudian diarahkan ke Perak membuat liputan. Maka, bersiaplah penulis, jurukamera, Rizal Rahim dan pemandu, Ashraf untuk ke Ipoh.
Perjalanan kami ke sana lancar, cuma kadangkala hujan, kadangkala panas dan setibanya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hati terus dicengkam sayu.
Petang itu cuacanya mendung, baru lepas hujan… membuatkan suasana di hadapan jabatan itu suram dan hiba.
Tak lama selepas itu, ahli keluarga mangsa mula tiba. Mengamati wajah mereka satu-persatu, hati semakin sedih.
“Dia selalu jaga mak bapa dia. Itulah, orang kata, yang baik ini selalu pergi dulu.
“Tapi kami reda dengan pemergiannya,” kata Md Akhir Jamaludin, 55, mengenai anak saudaranya Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.
Semuanya sugul, mungkin masih terkejut dengan apa berlaku, mungkin juga memikirkan bagaimana masa depan tatkala insan tersayang tidak lagi di depan mata.
Luahan dari anak Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor
lebih menyesakkan jiwa.
Kata-katanya ibarat sembilu yang terus menyucuk hati tanpa ada sebarang tapisan. Pedih sepedih-pedihnya.
“Mama sekarang Navy Day, sibuk. Kadang-kadang pergi pagi, balik malam. Malam pun bila kami pergi tuisyen, balik mama dah tidur.
“Jadi tiada masa sangat dengan mama. Masa hari raya, dialah yang paling seronok, tangkap gambar semua.
“Papa cakap tengok mama tu, seronok sangat. Mama kata tak apalah, mana tahu ini raya terakhir, bolehlah jadikan kenangan,” katanya.
Berkaca mata penulis menahan sebak melihat betapa kentalnya hati anak-anak mangsa, tiada langsung air mata gugur di hadapan media, namun tiada siapa tahu kepiluan yang bersarang di hati mereka.
Hari pertama cukup memilukan. Hari kedua rupanya berganda-ganda kesedihannya.
Ramai ahli keluarga mangsa hadir pada hari kedua di HRPB, termasuk keluarga Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna dari Sarawak.
Tangisan mereka membuatkan ramai sebak, hanyut dalam kesedihan yang berterusan sejak dari semalam.
Cuaca pada Rabu sungguh panas, tak terkira berapa liter air masuk ke tekak bagi menghilangkan dahaga yang seolah tidak pernah berhenti.
Panas memang panas namun pengamal media tetap tidak berganjak. Lebih tujuh jam menunggu, media dimaklumkan proses bedah siasat selesai jam 2.20 petang.
Lebih dua jam selepas itu, tepat jam 4.35 petang, semua van jenazah, 10 jumlahnya yang membawa wira negara dilihat keluar dari Jabatan Forensik HRPB.
Lapan daripadanya dibawa ke Batalion Ke-23 rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun dan dua dibawa terus ke rumah keluarga.
Kru Astro AWANI terus bersiap untuk ke RAMD. Jauh juga berjalan ke kereta, hampir 10 minit. Berpinar rasanya mata berjalan di bawah terik mentari sebegitu.
Kami tak peduli, gagahkan jua kaki melangkah kerana kami mahu merakamkan perjalanan terakhir wira negara itu di bumi Perak Darul Ridzuan.
Hampir satu jam menanti, akhirnya jenazah yang disolatkan di Batalion Dua Rejimen Renjer Diraja dibawa keluar dan kami yang berada di luar, merakamkan setiap saat pergerakan, tiada yang terlepas.
Van terakhir meninggalkan RAMD, kami hanya terdiam. Bukan kerana penat tapi kerana kesedihan masih tersisa di kalbu.
Mana tidaknya, dua hari kami melihat segalanya… dari awal insiden sehinggalah selesai semuanya.
Pelbagai emosi berkumpul di dada, tidak terungkap rasanya dengan kata-kata.
Di media sosial pula, banyak kenangan bersama mangsa dikongsi semula. Sungguh banyak jasa perwira-perwira negara, yang kita tahu, juga yang tidak kita tahu.
Benarlah bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Apa yang pasti, nama 10 wira negara itu akan terus terpahat dalam catatan sejarah Malaysia.
Mereka yang pergi sudah pergi, yang masih ada diharap reda dan tabah tempuhi segalanya.
Semoga keluarga mangsa kuat meniti hari demi hari tanpa ibu, ayah, suami, anak yang pergi tatkala bertugas demi negara.
Nukilan khas dari Ridauddin Daud, teristimewa buat wira negara.
Damailah anda di sana.
Ridauddin Daud
Tue Apr 30 2024
Seramai 10 wira negara terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, pada 23 April lalu. - Gambar/ Sinar Harian
Hampir seminggu hanyut, dua mangsa selamat kembali
Laporan bedah siasat dan dna guru sekolah, Istiqomah Ahmad Rozi sudah disiapkan dan diserah kepada pihak pendakwaan.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Alor Gajah menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Alor Gajah menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Institusi perubatan awam makin parah - Gerakan
Parti Gerakan menyifatkan institusi perubatan awam dalam negara menghadapi gelombang besar dan parah.
Hospital kerajaan terbeban jika M40 batal polisi insurans - Sim Tze Tzin
Hospital kerajaan akan menjadi terlalu padat akibat pertambahan pesakit daripada golongan M40 yang tidak lagi mampu membayar polisi insurans.
Gangguan seksual di UA perlu bukti, fakta diperoleh melalui kaedah tepat
Sebarang dakwaan berhubung gangguan seksual hendaklah berasaskan kepada bukti dan fakta yang diperoleh melalui kaedah tepat dan boleh dipercayai.
Perlis harap tempoh operasi pintu sempadan Padang Besar, Wang Kelian dilanjutkan
Kerajaan Negeri Perlis berharap operasi ICQS Padang Besar dilanjutkan kepada 12 tengah malam manakala di ICQS Wang Kelian pula beroperasi hingga 9 malam.
AWANI Ringkas: Hannah diarah bayar kos mahkamah RM40,000
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pesawat terhempas di Brazil, ahli perniagaan dan 9 ahli keluarga maut
Kesemua 10 orang di dalam sebuah pesawat kecil terbunuh apabila pesawat itu terhempas di bandar Gramado, selatan Brazil.
Prospek Pelaburan 2025: Lebih Cabaran & Peluang
Memasuki tahun 2025 tidak lama lagi, ekonomi global dilihat berada di persimpangan, dengan ketegangan geopolitik, cabaran struktur di China dan dasar perdagangan AS, menambah ketidaktentuan pasaran. Ulasan bersama Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan.
Sorotan 2024: Melonjak ekonomi, melimpah kemakmuran
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai perencanaan strategik untuk melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024 bagi melimpahkan kemakmuran yang berpanjangan kepada rakyat dan negara.
Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu ini
Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami pergerakan harga tidak menentu minggu ini berikutan minggu dagangan yang singkat.
Nahas helikopter Lumut: 'Wira negara, damailah kalian di sana...'
Satu negara bersimpati, bersedih dengan perginya pejuang yang telah banyak berjasa buat Malaysia.