PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap insiden kemalangan jalan raya antara sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan - Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di Rompin, Pahang pada 9 Jun lepas sebelum sebarang tindakan sewajarnya dilaksanakan.

APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan awal juga telah dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian terbabit.

Menurut APAD, semakan mendapati bahawa bas persiaran itu telah dilesenkan di bawah syarikat Zuzin Holiday Sdn Bhd, manakala treler dilesenkan di bawah syarikat LSM Metal Ace Sdn Bhd.

"Ditegaskan bahawa, sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang pelanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 45 atau Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang mana berkaitan," menurut kenyataan itu.

APAD memaklumkan insiden berkenaan dipandang serius membabitkan keselamatan orang ramai dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Pada 9 Jun, bas persiaran yang membawa 39 penumpang dan dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Setakat semalam, insiden itu telah meragut empat nyawa, manakala 12 mangsa masih menerima rawatan di hospital di Rompin.

-- BERNAMA