KUALA LUMPUR: Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Negeri Selangor.


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyambut baik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau ingin kebenaran terungkap melalui siasatan ini dan menganggapnya sebagai langkah yang wajar.
  • Asia Mobility Technologies dan kontrak DRT: Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, syarikat yang diasaskan oleh suami Hannah Yeoh, Ramachandran Muniandy, dipilih sebagai salah satu daripada dua syarikat untuk projek perintis DRT. Syarikat ini telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
  • SPRM sedang menyiasat maklumat dan petunjuk baharu berkaitan kontrak ini. Walaupun siasatan awal tidak menunjukkan penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan oleh Yeoh, SPRM masih terus menyiasat kes ini.


Menerusi hantaran di laman X beliau, Menteri Belia dan Sukan itu berkata, siasatan sudah bermula dan beliau mahu segala kebenaran dapat didedahkan selepas isu tersebut disiasat.

Menurutnya, rakyat Malaysia berhak untuk tahu segalanya berkaitan isu berkenaan yang turut melibatkan syarikat Asia Mobility yang mana suami Hannah, Ramachandran Muniandy adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Tambah Hannah, beliau sebelum ini tidak bersuara dalam isu tersebut kerana berasakan ia tidak wajar dan boleh ditafsirkan sebagai gangguan terhadap siasatan yang sedang berjalan.

“Sebenarnya atas sebab inilah saya tidak berkata apa-apa lebih awal.

“Pada pandangan saya, cara terbaik bergerak ke hadapan dalam menangani tuntutan tersebut ialah menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasatnya,” katanya.



Menerusi catatan di laman sosialnya, Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghubunginya dan bersolidariti dengannya.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

SPRM menerusi satu kenyataan pada Jumaat pula berkata, terdapat beberapa maklumat dan petunjuk baharu diperoleh dalam kes tersebut dan kini sedang diteliti pihak SPRM.

Menurut sumber, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti kesahihan maklumat atau petunjuk baharu tersebut.