MELAKA: Naga gergasi berlampu sepanjang 112.17 meter yang mengeluarkan pancuran air menjadi tarikan masyarakat tempatan berbilang kaum dan pelancong yang berkunjung ke Tokong Cheng Wah Keong di Kandang di sini.

Sebanyak 1,000 tanglung berlampu turut dipasang menghiasi tokong itu bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM300,000.

Pengerusi tokong berkenaan Hau Han Lee berkata kerja-kerja menghiasi tokong itu mengambil masa hampir dua bulan sebelum dibuka secara rasmi kepada pengunjung malam tadi dan perhiasan tersebut akan dipamer kepada pengunjung selama sebulan hingga awal Mac depan.

"Inisiatif menghiasi tokong dengan pelbagai hiasan lampu sempena Tahun Baharu Cina telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan tokong sejak tiga tahun lepas dan kali ini, tema yang diketengahkan ialah zodiak kalendar Cina iaitu naga.

"Perhiasan naga dan lampu neon yang dipasang di tokong pada tahun ini adalah yang paling besar dan cantik berbanding tahun-tahun sebelum ini dan kita dapat lihat ramai yang berkunjung bukan sahaja masyarakat Cina malah kaum lain untuk melihatnya secara dekat," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Hau berkata demikian selepas Pelancaran Perhiasan Naga Gergasi dan Tanglung di Tokong Cheng Wah Keong disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha menghiasi tokong itu juga bertujuan menjadikan premis tersebut sebagai tempat bagi mempamerkan kebudayaan serta kesenian masyarakat Cina dan bukan sekadar berfungsi sebagai pusat keagamaan.

"Selain itu, kita menghiasi tokong untuk menyokong usaha kerajaan negeri memeriahkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 dan menambah satu lagi tempat tarikan untuk dikunjungi pelancong.

"Bermula esok malam (Jumaat) lampu pada perhiasan naga gergasi dan tanglung akan dipasang 24 jam selama empat hari berbanding hari lain dan pelbagai persembahan kebudayaan serta kesenian masyarakat Cina akan dipersembah kepada pengunjung," katanya.

Sementara itu, pengunjung Ruslina Aziz, 43, dari Merlimau, Jasin berkata dia dan keluarga berkunjung ke tokong berkenaan untuk melihat secara dekat perhiasan terbabit kerana tertarik dengan cahaya yang menerangi kawasan tersebut.

"Dari jauh kami dapat lihat cahaya terang-benderang dan kami tertarik untuk berhenti dan melihat secara dekat selain dapat merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

-- BERNAMA