KUALA LUMPUR : Kementerian Sumber Manusia meletakkan sasaran kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam jumlah penempatan pekerjaan menerusi MYFutureJobs pada tahun ini, berbanding tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi tahun ini sehingga 23 Februari lalu, seramai 23,890 individu berjaya mendapat tawaran pekerjaan menerusi portal perkhidmatan pekerjaan negara itu.

"Sejak mula beroperasi Jun tahun lalu, sejumlah 185,493 individu berjaya mendapat tawaran kerja.

"Jumlah ini mencerminkan kesan positif pemulihan ekonomi dan kami yakin dengan kerjasama semua pihak terbabit, bilangan peluang pekerjaan akan  dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan berhubung pelancaran portal MYFutureJobs, yang memainkan peranan penting menyokong Program PenjanaKerjaya, di sini, pada Khamis.













Seramai 78 majikan mengambil bahagian dalam karnival maya ini dengan lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Sumber Manusia itu berlangsung selama empat hari sehingga esok.

Hari pertama sesi temu duga dalam talian yang berlangsung semalam, kata Saravanan, menyaksikan seramai 1,473 individu telah menghadiri  temu duga dengan 51 orang ditawarkan kerja.

Katanya, seramai 16,294 mendaftar sehingga semalam dan ini termasuklah 149 dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang mana terdapat 1,896 jawatan kosong yang ditawarkan.

"Orang ramai masih berpeluang untuk menghadiri temu duga secara dalam talian ini kerana
esok (Jumaat) adalah hari terakhir sesi temu duga terbuka," jelasnya.

Dalam pekembangan yang sama, Saravanan memberitahu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berperanan sebagai broker pekerjaan setakat 24 Februari lalu menawarkan 137,041 kekosongan jawatan aktif menerusi platform terbabit.

Sementara itu, menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya pula katanya,
seramai 146,258 individu diambil bekerja oleh majikan sehingga 23 Februari lalu, yang melibatkan 18,653 majikan.

Beliau memberitahu, bersempena dengan karnival PenjanaKerjaya pada tahun ini, inisiatif baharu iaitu #TogetherWeStand, diilhamkan bersama oleh kementeriannya bersama Kementerian Kewangan,
bagi mengalakkan majikan-majikan berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani kadar pengangguran negara.