Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, percaya syarikat-syarikat di Johor akan membuat penyesuaian sewajarnya selepas negeri itu mengubah hari-hari hujung minggunya kepada Jumaat dan Sabtu.

Beliau berkata kementeriannya belum menerima sebarang maklum balas negatif tentang perkara itu dan sentimen perniagaan di negeri itu neutral sahaja berikutan perkembangan itu baru-baru ini.

"Saya berada di Singapura pada Rabu minggu lepas; ada soalan daripada hadirin tentang cadangan ini pada masa itu.

"Saya percaya mereka akan buat penyesuaian sewajarnya," katanya selepas melancarkan sebuah Laporan Kajian Dasar Pelaburan mengenai Malaysia oleh Pertubuhan kerjasama dan Pembangunan Ekonomi di sini pada Rabu.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang pengumuman kerajaan negeri Johor mengenai perubahan hujung minggu itu.

Sabtu lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menitahkan supaya hujung minggu di Johor diubah kepada Jumaat dan Sabtu, daripada Sabtu dan Ahad, berkuat kuasa 1 Jan, 2014.

Bagaimanapun, sektor swasta diberikan pilihan sama ada untuk mengikut kerajaan negeri atau mengekalkan Sabtu dan Ahad sebagai hari untuk berehat.