KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed menzahirkan harapan tinggi agar Joe Biden yang baru memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) memberi lebih banyak perhatian terhadap rantau ASEAN.

Sambil menyambut baik kemenangan pemimpin Demokrat itu yang secara umumnya diterima baik oleh seluruh dunia, beliau berkata Biden juga perlu melakukan perubahan memandangkan presiden sebelum ini Donald Trump kurang menumpukan rantau ini.

"Kita harap beliau akan membawa perubahan. Umpamanya sebelum ini kita di Asia rasa terpinggir sedikit kerana melihat mungkin presiden sebelum ini tidak berapa memberi perhatian ke atas Asia Tenggara, khususnya ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Ruang Bicara Khas bertajuk 'Belanjawan 2021 : Agenda Ekonomi Untuk Rakyat' terbitan Bernama TV, pada Ahad malam. 

Mengulas selanjutnya, Mustapa yang juga mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2009 hingga 2018 juga berharap Biden akan berusaha untuk merancakkan perdagangan dunia tanpa mengenakan sekatan terutamanya barangan dari Malaysia serta negara-negara lain.

"Kita harap ketegangan akan berkurangan sama ada ketegangan ekonomi, perdagangan dan politik. Kita menaruh harapan yang tinggi dan mudah-mudahan hubungan Malaysia dan AS akan turut bertambah baik," katanya.

Beliau berkata, ini penting sejajar kedudukan AS sebagai negara kuasa besar ekonomi dan ketenteraan serta menyumbang kira-kira 20 peratus kepada ekonomi dunia.

Dalam pada itu, menyentuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Mustapa menegaskan bahawa pembangunan untuk Sabah dan Sarawak akan terus diberi penekanan termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Malah, katanya, satu jawatankuasa sosioekonomi Sabah dan Sarawak bagi menangani kemiskinan akan ditubuhkan di bawah kendalian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

"Kita tahu kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak cukup tinggi. Jadi kita perlu melihat isu kemiskinan daripada kaca mata berbeza daripada dulu," katanya.

Beliau menjelaskan, tempoh RMK-12 akan menyaksikan strategi-strategi berkesan dirangka untuk menangani masalah kemiskinan ini termasuk di negeri lain.

Dalam Belanjawan 2021, Sabah dan Sarawak akan menerima perbelanjaan pembangunan yang masing-masing berjumlah RM5.1 bilion dan RM4.5 bilion bagi tahun depan.

Ini antara lainnya bertujuan membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan.

-- BERNAMA