Ringkasan AI
- Mohd Shafie Apdal ragu usaha menangani kemiskinan tegar di Sabah selesai sebelum Julai.
- Beliau menyatakan jumlah miskin tegar di Sabah lebih besar daripada yang dijangka, dengan banyak kawasan yang terjejas.
- Shafie berharap langkah terperinci diambil untuk atasi kemiskinan tegar, memperbaiki sistem dan kemudahan di Sabah.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, berdasarkan fakta jumlah miskin tegar di Sabah sebenarnya jauh lebih besar daripada dijangka.
"Kalau berdasarkan fakta dari segi jumlah yang ada saya yakin bahawa ia tidak akan dapat diatasi kerana jumlahnya jauh lebih besar, bukan 10,000 kalau di Pulau Sebatik itu, kalau di Pitas, Long Pasia itu ramai.
"Itu baru satu atau dua daerah, bayangkan daerah yang ada di Sabah ini dan saya harap agar bukan hanya tafsirannya miskin tegar ini, bagaimana kita ukur miskin tegar di Sabah ini ramai yang tiada kerja, tiada pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih di Kampung Kuala Pantai Manis, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kemiskinan tegar di Sabah dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini.
Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berharap isu miskin tegar di Sabah ini dapat diteliti secara mendalam.
"Pengkalan data yang ada, kemungkinan miskin tegar yang ada di Semenanjung lain, mereka berpendapatan RM1,000 lebih atau RM1,500 tetapi di Sabah ini kerja pun tiada, pendapatan pun tiada.
"Jadi adakah senarai yang sebenar dapat kita diperoleh membolehkan untuk mengatasi masalah ini, kita tidak mahu nanti esok kita nyatakan jumlah miskin tegar telah dapat dihapuskan sedangkan ada lagi yang begitu daif di peringkat negeri.
"Kita alu-alukan, cuma saya berharap langkah terperinci mengatasi masalah ini supaya kumpulan sasar dapat atasi kehidupan mereka. Miskin tegas di Sabah lain kerana sistem dan kemudahan yang ada seperti pendidikan, kesihatan kita jauh ketinggalan," katanya. - Sinar Harian