Segelintir peniaga di negara ini didapati menjual durian Musang King 'tiruan' iaitu durian jenis lain yang dilabel sebagai Musang King bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kebanyakan peniaga tidak bertanggungjawab tersebut menyasarkan pelancong asing yang tidak arif mengenai jenis-jenis durian yang terdapat di negara ini.

"Bagi mengatasi isu penjualan durian Musang King 'tiruan' ini, kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan durian Musang King dilabel terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

"Mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan label tersebut boleh diambil tindakan oleh kementerian di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata cadangan pihak pembangkang supaya menetapkan harga petrol RON95 pada harga RM1.80 seliter akan menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi sebanyak RM5.07 bilion.

"Jumlah keseluruhan subsidi pada tahun lepas sebanyak RM2.44 bilion, sebanyak 28 peratus perlu diperuntukkan bagi menampung subsidi petrol RON95 sahaja.

"Ini tidak adil kepada rakyat kerana keperluan penggunaan minyak petrol bagi setiap pengguna adalah berbeza," katanya.

-- BERNAMA