ALOR SETAR:Seorang lelaki terkejut apabila menjumpai seorang bayi perempuan yang dibalut dengan kain batik ketika sedang berjoging, petang tadi.

Bayi yang masih bertali pusat seberat 3 kilogram itu ditemui Mohd Hanif Zaini, 29, di atas kerusi di hadapan sebuah tokong di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah.

Menceritakan detik kejadian, Mohd Hanif berkata pada mulanya dia terdengar seperti bunyi anak kucing.

Namun sebaik sahaja menghampiri, dia terlihat sebuah beg dan selepas membukanya dia mendapati di dalam beg tersebut ada seorang bayi.

“Saya datang dekat, dia senyap, kemudian menangis lagi. Saya masuk ke dalam (kawasan tokong), saya buka beg dan tengok dalam tu ada bayi.

“Masa tu (cuaca) panas, jadi saya tarik dia ke sini (kawasan teduh),” katanya.

Mohd Hanif menceritakan bagaimana dia menjumpai bayi berkenaan. - Astro AWANI

Mohd Hanif, kemudiannya bertindak menghubungi isterinya supaya membawa kereta ke lokasi penemuan bayi itu sebelum membawa bayi berkenaan pulang ke rumah mereka.

Sebaik bayi itu di bawa pulang, Mohd Hanif dan isterinya memandikan bayi tersebut sebelum menghubungi pihak polis.

Buang Bayi | Jumpa bayi ketika berjoging


Kira-kira jam 7 petang, bayi perempuan itu dibawa oleh ambulan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.