MUALLIM: Daerah Muallim menjadi daerah terbaharu di Perak yang dilanda banjir ekoran hujan lebat petang semalam apabila Pusat Transit Kesihatan Daerah (PKD) Orang Asli di daerah itu dinaiki air.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, seramai 14 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sekolah Kebangsaan Slim River yang dibuka bermula 8 malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS berkenaan malam tadi dan menyampaikan barangan keperluan.

Dalam pada itu, banjir turut melanda semula Kampung Padang Serai di Daerah Manjung, enam hari selepas mangsa dibenarkan pulang dari PPS di Dewan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Seramai 27 mangsa dari tujuh keluarga di kampung berkenaan dipindahkan semula ke PPS itu yang dibuka kembali pada 7 petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu, Azman Noh ketika melawat mangsa malam tadi berkata, mereka pernah dipindahkan ke PPS itu selama 20 hari sebelum ini.

“Kampung Padang Serai kembali termenung, baru enam hari mereka balik ke rumah selepas lebih 20 hari di PPS, hari ini mereka sekali lagi di tempatkan ke PPS Kampung Padang Serai.

“Lewat malam tadi sempat juga saya ke Kampung Ayer Tawar melihat air mula naik di halaman rumah,” katanya dalam hantaran dalam aplikasi Facebook miliknya.

Sementara itu, PPS di Dewan Sekolah Menengah Abdul Talib, Batu 4 di Hilir Perak, yang dibuka sejak 9 Disember lalu, masih menempatkan 134 mangsa dari 31 keluarga.

Kesemua mangsa adalah dari enam buah kawasan iaitu Kampung Batu 7 Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Sidang Osman Batu 8, Lorong Kedah Batu 8, Batu 8 dan Batu 7 Ganda.

Dalam pada itu, Sekretariat JPBN Perak turut berkongsi suasana banjir di beberapa kawasan di Manjung, malam tadi iaitu di hadapan Hospital Pantai dan Taman Samudera.