PUTRAJAYA: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menganjurkan majlis peluncuran dua dana baharu -- Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudahcara (DMM) -- di bawah program MySTI di Putrajaya.


Ringkasan AI
  • MTDC melancarkan dua dana baharu, Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudahcara (DMM), untuk menyokong penyelidikan tempatan dan memastikan ia diterima pakai serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
  • DUB menyediakan pembiayaan sehingga RM100,000, manakala DMM menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000, dengan sasaran menyokong sekurang-kurangnya 50 syarikat menjelang pertengahan 2025.
  • Dana ini bertujuan mempercepatkan penerimaan teknologi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar, dan meningkatkan daya saing industri serta ekonomi negara.

 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan, kedua-dua dana ini bertujuan memastikan hasil penyelidikan tempatan diterima pakai, diiktiraf, dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa bermula dengan perolehan oleh kerajaan.
 

Mohammad Hazani berkata kedua-dua dana menawarkan pembiayaan berbeza, dengan DUB menyediakan pembiayaan sehingga RM100,000, manakala DMM sehingga RM500,000.

Melalui pengenalan dua dana baharu ini, MTDC menyasar untuk menyokong sekurang-kurangnya 50 syarikat melalui pembiayaan dana ini menjelang pertengahan 2025 dalam projek rintis tersebut, jelas beliau.

“Kami akan membantu syarikat dengan khidmat nasihat tentang produk terbaik, potensi penggunaannya dalam agensi kerajaan, serta memberi latihan dan konsultasi untuk mengembangkan pasaran mereka,” kata Mohammad Hazani.

xxx

Upacara perasmian DUB dan DMM disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Mohammad Yusof dalam ucapannya berkata kedua-dua dana ini sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi tinggi menjelang 2030, dengan kerajaan memainkan peranan sebagai pengguna awal teknologi tempatan.

Tambah beliau, pelancaran dana ini bukan sahaja memanfaatkan syarikat tempatan, malah turut memperkukuh Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi serantau, dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk sektor industri, penyelidik, dan usahawan tempatan.

“Dana Uji Beli (DUB) membolehkan agensi kerajaan menguji produk tempatan, manakala Dana Mudahcara (DMM) membantu syarikat meningkatkan keupayaan pengeluaran selepas ujian berjaya dan syarikat menerima pesanan pembelian dari pihak kerajaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan tetapi juga menjana ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan daya saing industri,” kata Mohammad Yusof.

xxx

Tambahnya, langkah ini juga dijangka dapat mempercepatkan penerimaan teknologi tempatan di pasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar, sekali gus meningkatkan pertumbuhan teknologi negara.
 
Mohammad Yusof, dalam pada itu berkata, produk MySTI akan diutamakan dalam perolehan kerajaan, selain menerima sokongan lain seperti khidmat nasihat, latihan, dan peluang membuka pasaran baharu dari MTDC.

Untuk maklumat lanjut mengenai Dana MySTI, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MTDC di www.mtdc.com.my.